Monday, August 1, 2011

RAMADHAN UJIAN UMAT ISLAM




SETIAP Muslim memaklumi bahawa Ramadan adalah bulan suci yang penuh rahmat, bulan dilipat gandakan ganjaran pahala bagi setiap amal kebajikan, malah kedatangannya dianggap tamu agung yang wajar disambut dengan perasaan penuh gembira.

Sabda Rasulullah bermaksud: "Telah datang kepadamu bulan Ramadan, penghulu segala bulan. Selamat datanglah kepadanya. Bulan puasa datang dengan pelbagai berkat. Alangkah mulianya tamu yang datang itu." (HR At-Thabrani)

Rasulullah s.a.w. ada menjelaskan mengenai balasan kepada mereka yang berasa amat sukacita dengan kedatangan Ramadan, iaitu dengan sabdanya bermaksud: "Sesiapa yang bergembira dengan datangnya bulan Ramadan, maka Allah mengharamkan jasadnya masuk ke dalam semua pintu neraka." (HR Baihaqy dan Ibnu Majah)

Kegembiraan menyambut Ramadan dan mengerjakan amalan puasa itu bertambah lagi apabila mengingati segala dosa orang yang melaksanakan puasa (tentunya jika dengan benar-benar ikhlas) akan diampuni oleh Allah, baik yang telah lalu mahupun yang akan datang, iaitu sekiranya puasa itu ditunaikan dengan sempurna dan penuh penghayatan.

Sebagaimana sabda Nabi s.a.w. bermaksud: "Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan kerana iman dan mengharap pahala Allah, diampunkan dosanya yang lalu dan yang akan datang." (HR Ahmad)

Sabda Rasulullah bermaksud: "Apabila tiba malam pertama dari bulan Ramadan, semua syaitan dan jin yang jahat dibelenggu, pintu-pintu neraka ditutup rapat sehingga tidak satu pun yang terbuka. Sebaliknya pintu syurga dibuka lebar dan tidak satu pun tertutup. Kemudian muncul seruan pada setiap malam: Hai orang yang baik, majulah, dan orang yang jahat, berhentilah. Dan Allah membebaskan beberapa penghuni neraka dan hal ini berlaku setiap malam bulan Ramadan." (HR Ibnu Hibban dan al-Hakim)

Memasuki Ramadan bermakna kita melangkah ke gerbang ujian dan latihan. Kita tentu tidak mahu puasa yang kita kerjakan dengan bersusah payah menahan lapar dan dahaga itu tidak memperolehi apa-apa nilai atau ganjaran daripada Allah.

Ada baiknya kita merenung bagaimanakah cara Rasulullah s.a.w. menyambut kedatangan Ramadan. Apa yang baginda lakukan ialah antaranya seperti banyak mengerjakan amalan kebajikan dan ibadah puasa.

0 comments:

Post a Comment